Tuesday, March 28, 2017

TUAN, APA YANG SAYA PERLU BUAT DENGAN ANAK YANG MALAS MEMBACA?

TUAN, APA YANG SAYA PERLU BUAT DENGAN ANAK YANG MALAS MEMBACA?
DrRostam

Ada banyak sebab untuk anda mendengar radio sambil melayan kesesakan jalan raya. Salah satunya ialah sesi mendengar rintihan masyarakat yang mahukan pendapat dari tetamu jemputan di radio. Isu-isu yang menjadi masalah utama kepada masyarakat akan dijawab oleh tetamu yang biasanya adalah di kalangan agamawan yang berpengalaman. Jawapan biasanya menjurus kepada aspek spiritualiti dan sedikit nasihat umum yang sememangnya mencukupi sebagai panduan umum. Mana mungkin anda ada masa untuk mengulas panjang berjela isu tersebut di radio.

Lagi pun, soalan yang diterima adalah 'pre-recorded' bukan 'live' untuk ada bertanya kembali secara spesifik.

Namun, oleh kerana soalannya ialah berkenaan anak-anak, maka ia menarik minat saya untuk melihatnya dari sudut yang sedikit berlainan. Intipati kepada soalan itu saya rangkumkan di bawah:

1. Anak menunjukkan satu tingkahlaku yang tidak disukai oleh ibu
2. Ibu tidak tahu punca
3. Ibu perlukan bantuan untuk membetulkan sikap anak

Saya yakin bahawa ramai ibu bapa di luar sana ada pelbagai lagi masalah yang berkaitan anak yang ingin diperbetulkan tetapi dalam banyak keadaan, situasi itu amat liat untuk diperbaiki. Anak malas solat, anak tak baca Quran, anak banyak tengok TV, anak malas ini dan itu dan banyak lagi.

Saya cuba formulasikan satu jawapan yang berlainan dengan apa yang diberi semasa sesi tersebut bagi memberikan perspektif yang sedikit berbeza dari jawapan penceramah tadi yang saya lihat boleh ditambah baik untuk manfaat kita bersama.

FOKUS
Fokus soalan dan jawapan bagi isu ini kebiasaannya adalah sama iaitu:
1. Membetulkan anak yang yang sedang berkelakuan tidak patut
2. Perubahan akan dilakukan oleh anak dengan beberapa petua yang digariskan
3. Ibu bapa sebagai pengadil samada anak berjaya berubah atau tidak
4. Anak akan dihantar untuk pelbagai kem atau sekolah agama untuk memperbaiki tingkahlaku jika usaha ibu bapa gagal. Kem atau sekolah agama menjadi proksi membaiki anak

Dan kebanyakan masanya elemen terpenting dalam perubahan tingkahlaku anak-anak ini jarang ditekankan dan diberi perhatian iaitu ibu bapa itu sendiri. Ini kerana dalam majoriti situasi, ibu bapa tidak dilihat sebagai punca masalah atau elemen terpenting penyelesai masalah kerana mengira bahawa ibu bapa sentiasa di landasan yang betul, mempunyai perangai yang terbaik serta sempurna.

Sedangkan, bila dilihat dinamik permasalahan anak-anak, punca masalah dan kunci utama untuk menyelesaikan masalah bermula dari ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa yang bermasalah akan mewujudkan anak-anak bermasalah.

ANALOGI
Mudah sahaja untuk kita melihat di mana logiknya konsep ini. Cuba anda duduk dan perhatikan orang dewasa di sekeliling kita dan cuba refleksi diri kita sendiri. Perhati dengan erti kata melihat dengan mata hati tindak tanduk orang dewasa yang bergelar ibu dan bapa kepada seseorang di luar sana termasuk diri kita sendiri. Perangai kita, kegemaran kita, tabiat kita dan sebagainya sebenarnya tidak jauh beza dengan anak-anak kita yang kita gelar kurang ajar, pemalas, suka membazir masa, suka menipu, mencuba perkara yang tidak elok seperti merokok, terlalu suka berhibur dan sebagainya.

Cumanya, tingkahlaku yang kita lakukan itu kita rasionalkan dengan sesuatu atas nama ego kita sebagai seorang dewasa. Namun, bilamana anak melakukan perkara yang sama, tiba-tiba kita bertindak seperti hakim yang suci dari melakukan perkara yang sama dengan alasan kita ingin membentuk generasi yang lebih baik dan kita mahu MEREKA menjadi lebih baik.

Kita?

'PARENTING IS ABOUT PARENTS, NOT CHILDREN'
Jika mengikut agama kita, menjadi ibu bapa bermula dari pemilihan calon suami atau isteri lagi. Seterusnya pembinaan keluarga yang diteraskan kepada akhlak dan tingkahlaku yang baik dan akhirnya lahirlah anak-anak sebagai anugerah dari hubungan itu. Pentingnya tingkahlaku dan akhlak yang baik ini sebenarnya kerana semua ibu bapa inginkan anak-anak yang juga baik.

Anak-anak sukar jadi baik jika tiada contoh yang baik untuk diikuti. Akhlak dan tingkahlaku mereka adalah refleksi kepada akhlak dan tingkahlaku ibu bapa mereka. Jika anak pemalas, anak tak suka baca buku, anak suka buang masa, anak tidak hormat ibu bapa dan sebagainya adalah gambaran kepada sikap ibu bapa itu juga samada terhadap anak itu sendiri, rutin harian mereka atau sikap terhadap orang lain.

Harus diingat bahawa dari kaca mata anak-anak, ibu bapa adalah contoh manusia sempurna semasa mereka masih kecil. Apa yang menjadi kebiasaan ibu bapa adalah yang terbaik di mata mereka yang perlu ditiru secara sedar atau tidak. Solat, budaya membaca, cara bercakap, cara bersosial, tabiat yang sihat dan sebagainya dipengaruhi oleh ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa yang tidak rajin membaca, tidak akan menghasilkan anak-anak yang rajin membaca.

Mungkin kita boleh paksa mereka membaca tetapi adakah ianya sama dengan seseorang yang membaca kerana mereka memang mahu membaca? Begitu juga dengan tabiat dan tingkah laku yang lain. Sesuatu tabiat yang baik itu tidak akan terbentuk tanpa role model iaitu ibu bapa itu sendiri.

Perangai anak-anak yang kurang baik juga menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengan cara dan pendekatan kita terhadap mereka seharian. Dengan merasionalkan kepenatan bekerja sebagai punca untuk kurangnya perhatian, ia tidak akan merubah keadaan anak tersebut. Dewasa ini, isunya ialah ibu bapa yang seolah tidak wujud di mata anak-anak. Fizikalnya sahaja ada setiap hari tetapi emosinya tiada, tumpuannya juga tiada.

Natijahnya, anak tidak melihat kita sebagai role model juga dan melihat kita tidak lebih sebagai pemberi mereka makan, penyedia tempat tinggal, duit belanja, pemandu mereka ke mana-mana dan lain-lain tugasan yang tidak boleh dilakukan mereka secara sendiri.

Secara emosi dan pemikirannya kita 'disconnected' dari anak-anak kerana kita juga terlalu sibuk dengan masalah kita sendiri sehingga terlupa bahawa kita telah mengabaikan mereka. Kesannya, anak tidak melihat adanya keperluan untuk 'connect' dengan kita dan lebih selesa untuk 'connect' dengan perkara lain samada kita suka atau tidak.

Dan kebanyakan masanya, ia sudah tentu perkara yang kita tidak suka. Mengapa begitu? Kerana secara luar sedar mereka 'belajar' bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan perhatian dari ibu bapa mereka ialah dengan cara melakukan sesuatu yang ibu bapa mereka tidak suka. Jika tidak, masing-masing akan sibuk dengan dunia sendiri.

Berapa ramai antara kita yang hanya akan buka mulut atau tengok anak bila mereka buat sesuatu yang tidak kita sukai? Anda boleh lihat dengan mata kepala anda di pusat membeli belah atau di tempat makan. Ibu atau bapa hanya berinteraksi dengan anak bila sesuatu yang tidak disukai berlaku. Kebanyakkan masanya dengan memek muka yang tidak molek atau nada suara marah. Selain itu, ibu bapa akan sibuk dengan gajet semata.

Ada beza yang sangat besar antara MENDIDIK/MENGASUH dengan MENTERNAK.

KESIMPULANNYA
Konsep keibubapaan bermula dengan ibu bapa bukan anak-anak. Ia adalah tentang kita sebagai ibu dan bapa. Anak-anak adalah 'produk' disiplin diri kita sebagai seorang manusia yang berinteraksi dengan dunia sekeliling. Anak-anak adalah refleksi kepada siapa kita sebenarnya hasil cerapan sedar dan luar sedar mereka terhadap kita dari mereka lahir sehingga sekarang.

Mungkin kita gunakan guru, pengasuh dan lain-lain sebagai proksi tingkahlaku baik tetapi jika role model utamanya tidak begitu molek, tidak banyak yang proksi anda boleh lakukan melainkan perubahan yang minima dan bersifat sementara.

1 comment:

  1. Caesars Entertainment Announces the Company's - DrmCD
    Caesars Entertainment Corporation 진주 출장안마 announces the completion of the acquisition of gaming 전라남도 출장마사지 properties Caesars 구리 출장마사지 Entertainment Corporation. The acquisition 안성 출장안마 includes  울산광역 출장마사지 Rating: 3.6 · ‎2 reviews

    ReplyDelete