Perkahwinan kanak-kanak di Malaysia (bawah 18 tahun bagi lelaki Muslim dan bawah 16 tahun bagi perempuan Muslim) yang dilihat tiada masalah sebenarnya adalah tragedi ummat.
Dari sudut hukum fiqh memanglah tiada halangan, sebagaimana yang dibincangkan oleh majoriti ulama. Namun, jauh melampaui batasan fiqh, perkahwinan kanak-kanak adalah wajah kepada kemerosotan akhlak serta ketidaksamarataan ekonomi dan sosial.
Setelah membaca beratus-ratus fail permohonan pernikahan bawah umur di beberapa negeri di negara ini, kami cuba membuat kesimpulan berikut:
1. Pendorong utama mereka berkahwin adalah faktor ekonomi. Dalam hampir keseluruhan kes (pengecualiaan beberapa kes), ibu bapa kanak-kanak tersebut berpendapatan rendah. Saiz keluarga dan tanggungan juga besar apatah lagi jika tinggal di kota besar. Masa kerja ibu bapa yang panjang dan bergaji rendah mengakibatkan mereka hilang fokus dalam memberikan perhatian yang wajar kepada anak-anak. Anak-anak 'terbiar' tanpa tahu apa yang mereka sedang lakukan untuk menghiburkan diri dan mengisi masa.
.
Apabila mengetahui anak mereka terlanjur atau sudah terlalu rapat dengan pasangan, ibu bapa nampak itu adalah peluang untuk mereka mengahwinkan anak mereka, terutamanya anak perempuan. Ini kerana ada orang lain yang boleh dipertanggungjawabkan untuk memberi makan kepada anak mereka. Perkara ini memanglah tidak disebut secara nyata oleh ibu bapa yang memberikan keterangan di mahkamah. Namun, perkara ini boleh dibaca secara tersirat apabila ibu bapa menyebut bakal suami anaknya sudah bekerja dengan gaji sekian-sekian. Biarpun gaji bakal menantu itu kecil, namun ibu bapa tahu itu sudah memadai untuk meyakinkan mahkamah yang anak mereka sudah boleh berumahtangga.
2. Pendorong kedua ialah tidak bersekolah. Hampir majoriti permohonan dibuat oleh kanak-kanak yang tidak bersekolah atau sudah berhenti bersekolah. Dari utara Semenanjung sehinggalah ke pedalaman Semporna, anak-anak ini sudah tidak lagi ke sekolah atas pelbagai sebab yang tidak diberitahu kepada mahkamah. Namun, kita boleh membacanya.
.
Puratanya, terdapat jarak masa antara satu ke dua tahun, yang mereka tidak lagi menjadi pelajar. Mereka mungkin berhenti kerana tidak lagi mampu ke sekolah kerana kos yang besar ataupun tidak lagi berminat dengan sekolah. Mereka tidak mampu kerana kos belanja ke sekolah sangat tinggi. Sebahagiannya ada adik beradik yang lebih muda yang mungkin lebih perlu ke sekolah. Apatah lagi jika prestasi akademik memang tidak memberangsang, maka tindakan ibu bapa memberhentikan sekolah adalah untuk menyelamatkan ekonomi keluarga tersebut.
.
Terdapat juga keterangan yang menyatakan mereka dibuang sekolah. Tidak dinafikan juga terdapat sejumlah kes yang pelajar berhenti kerana telah disahkan mengandung. Malu mahu ke sekolah dengan perut berisi.
.
Apabila kanak-kanak itu tidak bersekolah, mereka mula mencari sesuatu untuk mengisi masa lapang, termasuklah menghabiskan masa dengan teman. Apabila ibu bapa sibuk bekerja (perlu kerja kuat sebab duit tidak pernah cukup), terdapat kanak-kanak yang buat aktiviti seksual di rumah.
.
Sebahagian kanak-kanak lelaki juga bekerja apabila tidak lagi ke sekolah. Namun, faham-fahamlah kuasa ekonominya. Gaji sangat kecil kerana hanya dengan kelulusan UPSR atau PMR. Ini hanya akan melanjutkan pusingan kesusahan dan kemiskinan bandar yang sedang dideritai oleh keluarga mereka.
.
Terdapat juga sebilangan kecil kanak-kanak (boleh dibilang dengan jari) yang menyatakan hasrat untuk mengambil peperiksaan SPM selepas mereka berkahwin. Mungkin mereka tahu peperiksaan itu penting untuk survival ekonomi mereka dan menaikkan taraf ekonomi keluarga mereka.
3. Pendorong ketiga ialah kelemahan kemahiran keibubapaan. Majoriti ibu bapa menyatakan mereka sudah tidak dapat lagi mengawal anak mereka. Anak-anak yang sedang meningkat remaja asyik berkepit, terlalu rapat, selalu keluar bersama terutamanya pada waktu malam. Ramai ibu bapa yang mengeluh dengan memberitahu mahkamah yang mereka sudah tidak mampu mengawal anak mereka atau sudah berbuih mulut menasihati anak-anak mereka.
.
Ibu bapa itu tidak tahu cara dan teknik mengendalikan anak remaja yang sedang galak bercinta. Tiada sebarang keterangan yang mereka mendapatkan khidmat kaunseling remaja ataupun doktor berkaitan kesihatan reproduktif remaja. Dengan mengahwinkan anak, mereka akan melepaskan tanggungjawab mendidik kepada pasangan anak mereka. Masalah ibu bapa selesai!
Ada beribu-ribu kanak-kanak perempuan yang hamil setiap tahun. Yang tidak hamil atau terlanjur mungkin lebih besar dan tidak diketahui jumlahnya kerana tidak berada di bawah pendaftaran mana-mana pihak berkuasa.
.
Namun yang memohon untuk berkahwin hanyalah sekitar 1000 lebih sedikit pada setiap tahun di seluruh Malaysia. Mengapa 1000 lebih ini yang memohon untuk berkahwin sedangkan beribu-ribu yang terlanjur tidak pula berkahwin? Adakah kita mengatakan yang 1000 ini adalah yang paling faham agama dan kuat imannya, lalu pergi ke mahkamah dan jabatan agama untuk menghalalkan hubungan mereka? Tidak.
Jawapannya pada tiga poin di atas. Ribuan yang lain mungkin datang dari keluarga yang mempunyai latar ekonomi yang lebih baik. Lalu mereka memilih untuk duduk di rumah perlindungan gadis hamil yang tumbuh macam cendawan. Atau memilih untuk mengandung terus dan memelihara atau menyerahkan anak itu kepada orang lain.
.
Mereka memilih untuk tidak berkahwin bukan kerana tidak cinta kepada pasangan. Namun, keluarga ada perancangan kehidupan yang lebih baik seperti menghabiskan peperiksaan, peluang kerjaya, menyambung pelajaran dan vokasional. Sebaliknya, keluarga berpendapatan rendah terus memilih untuk berkahwin kerana ada manfaat dan faedah untuk mereka.
Nota: Akta Kanak-kanak 2001 mentakrifkan kanak-kanak sebagai individu di bawah 18 tahun. Undang-undang tidak panggil mereka remaja atau orang muda. Buat adik-adik bawah 18 tahun, anda masih seorang kanak-kanak.
#ChildMarriageInMalaysia
Ini adalah nota penyelidikan. Komen, pandangan dan kritikan dialu-alukan.
Kami dalam perjalanan ke Sarawak. Untuk membaca fail lagi.
Copypaste fb
No comments:
Post a Comment