"DOKTOR, SAYA NAK IKAT !
______________________________________________
Bagi mereka yang bertugas dibahagian sakit puan dan kebidanan,
ini adalah salah satu perkara yang sering terlepas pandang, menjadi delima dan terkadang terpaksa membuat keputusan yang berkontradiksi antara larangan agama dan anjuran dalam pendidikan perubatan.
Kenapa?
Kerana dalam hal ini
hukum agama dan perubatan tak selalu selari
Dalam falsafah ilmu perubatan, pesakit mempunyai autonomi penuh dalam menentukan apa apa prosedur terhadap dirinya, dan dalam hal ini, meskipun pesakit muda, tidak pernah mencuba kaedah pencegahan kehamilan yang bersifat sementara sebelumnya, dan tidak memiliki risiko kesihatan yang jelas yang dapat membahayakan nyawa seandainya dia mengandung, sebagai doktor kami terpaksa menurut seandainya itu permintaan pesakit.
Sedangkan dalam islam, setiap inci dari batang tubuh kita adalah milik Allah yang hanya dipinjamkan buat sementara
Dan sebagai peminjam, kita terikat dengan peraturan oleh pemiliknya.
Allah melarang kita membuat sebarang perubahan yang bersifat permanen atau kekal tanpa alasan yang syarie kerana Allah telah pun menjadikan diri kita dalam sebaik baik kejadian dan tidak ada bahkan setiap bahagian tubuh manusia melainkan ia pasti ada fungsi atau manfaatnya, tinggal lagi samada Dia memberikan kita ilmu tentang hal tersebut atau tidak. Kerana itulah hal seperti tatoo adalah haram dari segi Islam.
Jika ditinjau dari segi hukum* , dalam menghalang kehamilan, secara garis besar terdapat 2 pendapat utama; yang pertama yang mengharamkan semua bentuk pencegahan kehamilan dan yang kedua adalah yang mengharuskannya (mubah).
Pendapat yang membolehkan merincikan akan tidak haram hukumnya untuk mengatur kelahiran (tanzim al nasal) atas dasar maslahah pembinaan keluarga tapi bukan menghentikan kemampuan untuk bereproduksi secara kekal (tahdid al nasal).
Tahdid Al Nasal hanya diperbolehkan jika menurut ilmu perubatan sebarang kehamilan akan membahayakan nyawa si ibu seperti pesakit dengan luka operasi caesar 3 kali atau lebih, masalah jantung yang dapat mengakibatkan kematian atau sakit serius jika hamil, masalah darah tinggi ketika mengandung yang berulang dan serius sehingga menimbulkan komplikasi seperti sawan dan masalah masalah perubatan lain yang telah dibuktikan dalam kajian ilmiah akan memberikan mudarat yang signifikan pada si ibu sampai bila bila.
Kaedah ikat atau tubal ligation adalah satu prosedur dimana tiub fallopio (fallopian tube) salur dimana menghubungkan sel telur dengan rahim, satu satunya jalan untuk sperma bertemu dengan sel telur (secara normal) diikat samada dipotong dan diikat, atau disepit sehingga salur itu tertutup. Meskipun tidak dipotong dan hanya disepit, bahagian dari tiub yang terhalang darah akan tetap mati dan ini akan memberikan kesan yang bersifat kekal.
Kerana itu menurut NICE, badan perubatan yang aktif melakukan kajian dan mengeluarkan guidelines di UK menggariskan kriteria pertama yang perlu dijelaskan pada pesakit tentang tubal ligation adalah ia bersifat kekal/irreversible.
Dengan perkembangan ilmu pengetahuan, pilihan untuk tanzim al nasal semakin banyak bahkan ada kaedah yang tidak kekal yang kadar kehamilan dengan penggunaan dan pemasangan yang betul jauh lebih rendah berbanding ikat seperti pil dan suntikan (untuk jangka pendek) dan implan (untuk jangka panjang) sekaligus mempersempit rukhsah/ kelonggaran dalam tahdid al nasal.
HIKMAH
Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita.
Apa yang kita ingat terbaik buat masa ini boleh jadi sebaliknya.
Dalam usia saya yang baru setahun jagung dibidang sakit puan ini, setidaknya saya sudah 2 kali menemui kes dimana pesakit datang berjumpa dengan saya, bersungguh sungguh untuk ikat dengan alasan sudah cukup anak dan penat mengandung dan saya kemudian mencadangkan mereka mencuba kaedah lain terlebih dahulu tetapi kemudian mereka dapat juga melakukan prosedur tersebut setelah berikhtiar berjumpa dengan doktor yang lain. 2 pesakit tersebut ditakdirkan berjumpa dengan saya kembali, dengan pasangan hidup yang baru setelah bercerai dalam perkahwinan sebelumnya dan meminta untuk disambungkan kembali tiub mereka.
Kaedah penyambungan kembali mempunyai angka kejayaan yang rendah dan kalaupun berjaya mempunyai risiko kehamilan luar rahim yang sangat tinggi.
Dan saya juga pernah beberapa kali menemui kes dimana meskipun tiub sudah terputus dan memendek selepas diikat, pesakit tetap hamil dan hampir kesemuanya kehamilan luar rahim.
ANJURAN
Untuk Pesakit dan Suami
Kehamilan dan pengurusan keluarga adalah isu yang sudah dihadapi beribu ribu tahun yang lampau. Sedangkan kaedah mengawal kehamilan secara agresif relatif sangat baharu. Perancangan keluarga yang baik bukan hanya mengawal jumlah anak tetapi banyak hal, aspek yang lain. Kalau seandainya perlu menjarakkan kehamilan, konsultasikan dengan doktor apa pilhan yang ada dan semampunya pilihlah yang tidak bersifat kekal sekiranya kesihatan mengizinkan.
Di Malaysia, untuk melakukan tubal ligation, masih memerlukan izin suami, dalam kata lain, jika suami tidak mengizinkan, ia tetap tidak dilakukan. Disinilah penting peranan suami untuk membantu isteri membuat keputusan yang selari dengan kesihatan dan syarak.
Untuk Petugas Perubatan terutama yang beragama Islam
Jangan terlalu cepat menerima usul pesakit apatah lagi mencadangkannya untuk permanent contraception tanpa risiko kesihatan yang jelas. Tak semua risiko hamil bahkan dalam usia meningkat mampu menjustifikasi tindakan sterilization yang kekal. Mungkin pesakit boleh ditawarkan kaedah LARC (long acting reversible contraception) sebelum kita menilai semula indikasi untuk permanent contraception.
Ingat, meskipun ia adalah pemintaan pesakit, tetapi kita tetap punya kuasa yang akan dipertanyakan dikemudian hari jika kita melakukannya.
Adapun untuk ujian peringkat kepakaran, itu ada perbahasan tersendiri dan mungkin sedikit taqiyyah diperbolehkan ;)
Wallahu A'lam
*http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/906-irsyad-al-fatwa-ke-146-hukum-merancang-keluarga-kerana-berpendapatan-rendah
Fb khabab
No comments:
Post a Comment